Entah kenapa, sejak dari dahulu
lagi, aku mempunyai satu tabiat yang mana aku akan makan dengan
banyak sekali apabila aku berada dalam keadaan gementar atau pun
tertekan. Itulah yang aku lakukan ketika menikmati sarapan sendirian
di hadapan Capital Square pada satu hari Selasa yang cerah.
Semasa dalam perjalanan dari
Masjid Jamek ke Capital Square, aku sempat membeli nasi lemak, bihun
goreng dan beberapa jenis kuih muih yang di jual oleh peniaga-peniaga
di tepi jalan. Perlahan-lahan aku menyuap satu-persatu hidangan
sarapan pagi itu ke dalam mulutku. Semakin berisi perutku, semakin
kurang rasa gementar yang aku rasakan sejak malam. Aku berasa lebih
tenang dan bertenaga.
Aku cuba mencatat nota mindaku ke
atas satu helaian kertas. Ketika itu, aku cuba mengagak apa yang akan
ditanya kepadaku apabila aku berada di pejabat majalah Hey nanti.
Beberapa
hari sebelumnya, aku telah dipanggil untuk menghadiri
satu sesi
temuduga. Menurut Chan, wanita yang menghubungiku berkenaan dengan
temuduga itu, bahagian editorial majalah Hey memerlukan seorang
kerani untuk membantu mereka di sana. Aku bersetuju untuk mencuba
lalu membuat temujanji untuk ditemuduga di Terry Lee Publication.
-Good Luck Marina -
Harry
Aku menerima satu mesej dari
Harry. Kunyahanku terhenti seketika. Perasaan gementarku yang hilang
kembali terasa. Aku menarik nafasku dalam-dalam. Cuba mengembalikan
ketenangan yang aku rasai setelah menikmati sarapan pagiku yang berat
itu.
Sebenarnya Harry adalah orang
yang bertanggungjawab dalam menyusun langkahku ke situ. Walaupun dia
tidak mengakuinya, aku tahu, jika tidak kerana dia yang menarik
perhatian ketua operasi Hey kepadaku, mungkin aku tidak akan berada
di situ.
Sebaik sahaja tamat Pesta Buku
Kuala Lumpur, Harry menghubungiku dan meminta aku menyiapkan satu
jurnal berkenaan dengan pesta buku yang berlangsung di PWTC itu.
"Tulis
apa yang awak fikir tentang pesta buku tempohari.
Itu sahaja" kata Harry.
"Untuk apa Harry?"
"Setiap aktiviti yang
melibatkan Hey akan diletakkan di dalam jurnal. Untuk Pesta Buku itu,
Daniel perlukan satu rekod untuk jurnal Hey. Dia percaya hanya hanya
awak yang boleh menyiapkannya kerana awak yang berada di sana setiap
hari sepanjang pesta buku itu. Hey amat memerlukannya dari awak.
Boleh ya Marina?"
"Okey. Saya cuba. Tetapi
jangan pula marah saya kalau apa yang saya buat nanti tidak seperti
yang kamu semua jangkakan"
Walaupun
aku nampak ragu-ragu di hadapan Harry, di dalam hati, aku sememangnya
teruja dengan apa yang dikatakan oleh Harry. Manakan mampu aku
menolak permintaan ketua editor Hey. Di dalam benak fikiranku, aku
tahu permintaan Daniel itu adalah sesuatu yang tidak patut aku
sia-siakan. Ia memberi peluang untuk aku menunjukkan kebolehanku.
Manalah tahu, untung-untung ada rezeki untuk aku buat kerja sambilan
di Hey. Ketika itu, aku sudah mula berangan untuk menjadi salah
seorang dari contributor
bulanan Hey. Aku melakukan yang sehabis baik. Bagiku, sekiranya tiada
apa-apa hasil sekalipun, aku tidak akan menyesali apa-apa di masa
akan datang. Sekurang-kurangnya aku mencuba.
Dua minggu
berlalu tanpa apa-apa berita dari Harry selepas aku menyerahkan
jurnal pendek itu kepadanya. Apabila terserempak dengannya, kami
hanya tersenyum dan berbual pendek. Aku tidak bertanya sedikit pun
mengenai jurnal pendek yang aku siapkan itu. Dia cuma mengeluh kecil
tentang jadualnya yang sibuk. Sehinggalah tiba saat di mana Chan
menghubungiku berkenaan dengan jawatan kerani itu, aku menghantar
mesej kepadanya.
- Chan
dari Hey ada telefon saya tadi. Dia mahu saya datang temuduga untuk
jawatan kerani. Awakkah yang cadangkan nama saya?-
- Tidak.
Saya tidak cadangkan nama awak. Awak tidak suka dengan jawatan itu?-
- Suka.
Ini ada kena mengena dengan jurnal pendek itukah?-
-Saya
tidak tahu Marina. Daniel tidak beritahu saya apa-apa langsung. Awak
pergilah ya. Saya rasa ini peluang baik untuk awak. Kita boleh kerja
bersama nanti-
-Saya
akan pergi. Terima kasih Harry-
“Aku
tahu yang kau akan dapat kerja itu sayang.
Kau akan bergelar seorang editor tidak lama lagi!”
kata Gina sejurus sahaja aku memberitahunya tentang temuduga itu di
Dr Love.
“Gina.
Janganlah ucap tahniah dahulu. Belum apa-apa lagi. Aku baru sahaja
hendak pergi temuduga.
Lagi pun aku ditawarkan untuk menjadi seorang kerani di sana”
"Ia satu
jawatan penting Marina dan ianya di Hey! Bukan sebarangan tempat!
Ianya satu permulaan yang baik!" kata Ally kepadaku.
Setibanya aku di Terry Lee
Publication, aku duduk menghadap penolong pertama dan kedua ketua
editor majalah Hey iaitu Cindy dan Susan. Dalam posisi menegak, aku
duduk menyandar ke kerusi yang menyokong elok posturku ketika itu.
Mataku melilau ke segenap bahagian pejabat, mencari-cari bayang
lelaki yang bernama Daniel. Aku tertanya-tanya ke manakah agaknya
ketua editor majalah Hey itu pergi. Menurut kedua-dua wanita itu,
merekalah yang akan menemuduga aku pada hari itu. 'Alahai. Aku ingat
Daniel yang akan temuduga aku' kataku di dalam hati. Ketika itu,
pelbagai kemungkinan tentang Daniel keluar dalam fikiranku.
'Hmmm. Dia sakit barang kali.
Atau dia tidak suka menemuduga orang. Atau pun dia kurang sihat?
Bagaimana kalau dia sekarang ini berada di bilik sebelah? Mungkin dia
boleh melihat aku dari mana-mana dinding yang ada di dalam bilik ini
seperti yang aku tonton dalam rancangan Style by Jury?'
Cindy dan Susan kembali semula ke
meja setelah meninggalkan aku untuk beberapa minit.
'Hentikannya Marina! Hentikan
semua ini! Bertenang...' aku mengingatkan diriku. Aku tahu aku patut
berhenti dari menyoal diri dengan soalan-soalan yang mengarut dan
fokus pada apa yang ada di hadapan mataku.
Semasa menemudugaku, Susan dan
Cindy nampak begitu menyenangkan sekali. Sebelum aku disoal dengan
soalan-soalan yang berkaitan dengan kerja, kami berbual-bual dahulu
mengenai harga gula, petrol dan cuaca di Kuala Lumpur yang semakin
panas. Perbualan itu sedikit sebanyak mengurangkan perasaan
gementarku. Oleh kerana fokus majalah Hey adalah berkenaan dengan
gaya hidup di Kuala Lumpur, maka topik perbualan kami pun berkenaan
dengan hal-hal yang berkaitan. Sebenarnya aku tidak menyangka yang
ianya akan menjadi satu sesi temuduga yang begitu kasual sekali.
Bukan sesi soal-jawab yang aku bayangkan sebelumnya. Sebelum temuduga
itu, aku membayangkan yang aku akan disoal dengan soalan-soalan sukar
yang bertujuan untuk menguji karaktorku dan dari situ, mereka mampu
melihat sejauh mana sihatnya mentalku. Aku pula akan berpeluh-peluh
memikirkan jawapannya.
Namun, perkara-perkara lain juga
turut disentuh. Apabila ditanya tentang pengalaman kerja pula, suka
atau tidak, aku tidak boleh mengelak dari bercerita mengenai Markonah
dan apa yang berlaku di Nona Silk. Ternyata, mereka terkejut dengan
apa yang aku ceritakan kerana mereka tidak menyangka yang mereka
sedang menemuduga orang yang berada di sebalik drama yang melibatkan
Nona Silk beberapa bulan yang lalu. Apabila ditanya apa rasanya
bekerja untuk seseorang yang digelarkan sebagai 'paling kejam di
Lembah Klang', aku menjawab yang aku amat menyukai cabarannya walau
pun ianya tidak berakhir seperti yang diharapkan. Ianya satu jawapan
yang selamat kerana Gina selalu berpesan kepadaku untuk tidak terlalu
kritikal terhadap Markonah apabila ditanya dalam temuduga.
Selain daripada itu, mereka juga sempat bertanya beberapa soalan lain seperti rancangan masa depanku dan kemungkinan untuk aku meninggalkan syarikat itu dalam masa enam bulan. Soalan terakhir yang diajukan kepadaku itu membuatkan aku berasa sedikit gugup dan aku memilih untuk berlaku jujur lalu menjawab "Ya". Namun, aku menambah pada akhirnya "Jika saya mendapat tawaran yang lebih bagus, mengapa tidak?" kataku dengan nada bercanda yang penuh hati-hati. Susan dan Cindy berpandangan dan tersenyum.
Selain daripada itu, mereka juga sempat bertanya beberapa soalan lain seperti rancangan masa depanku dan kemungkinan untuk aku meninggalkan syarikat itu dalam masa enam bulan. Soalan terakhir yang diajukan kepadaku itu membuatkan aku berasa sedikit gugup dan aku memilih untuk berlaku jujur lalu menjawab "Ya". Namun, aku menambah pada akhirnya "Jika saya mendapat tawaran yang lebih bagus, mengapa tidak?" kataku dengan nada bercanda yang penuh hati-hati. Susan dan Cindy berpandangan dan tersenyum.
Selepas
temuduga itu berakhir, aku sempat meninjau-ninjau pejabat Terry
Lee
Publication yang senyap sunyi pada ketika itu. Kesunyian itu bukanlah
kerana ketiadaan orang di pejabat, namun ianya kerana kesibukan dan
ketekunan mereka yang berada di situ. Melihat situasi itu, aku
bertanya kepada diriku, "adakah aku mahu berada di sini
sekiranya aku diterima?"
Soalan itu membuatkan aku berhenti berfikir untuk seketika. Aku cuba mengingati kisah silamku dan cerita suka-duka mereka yang terlebih dahulu makan garam daripadaku. Mungkin itu bukanlah sesuatu yang aku harapkan selama ini. Tetapi ianya mungkin sesuatu yang aku perlukan. Sebelum itu pun aku tidak pernah tahu hala dan tujuku yang sebenar. Mungkin aku patut mengubah pandanganku tentang karier dan kehidupan. Aku tidak perlu takut untuk memulakannya semula. Lagi pun, Hey dan Terry Lee adalah satu tempat yang baik untuk aku lakukan perubahan di dalam kehidupanku. Rugi sekiranya aku tidak mengambil peluang yang diberi. Sejujurnya, pada ketika itu, aku sendiri masih lagi samar-samar tentang sejauh manakah peluang itu akan mengubah hidupku pada masa akan datang. Namun, aku dapat merasakan yang ianya satu pilihan yang tepat. Hey seolah-olah memberi aku peluang untuk berkongsi sesuatu dan mengukir senyuman di wajah ribuan orang dan yang pasti, aku perlu bersedia untuk memulakan sesuatu yang baru.
Soalan itu membuatkan aku berhenti berfikir untuk seketika. Aku cuba mengingati kisah silamku dan cerita suka-duka mereka yang terlebih dahulu makan garam daripadaku. Mungkin itu bukanlah sesuatu yang aku harapkan selama ini. Tetapi ianya mungkin sesuatu yang aku perlukan. Sebelum itu pun aku tidak pernah tahu hala dan tujuku yang sebenar. Mungkin aku patut mengubah pandanganku tentang karier dan kehidupan. Aku tidak perlu takut untuk memulakannya semula. Lagi pun, Hey dan Terry Lee adalah satu tempat yang baik untuk aku lakukan perubahan di dalam kehidupanku. Rugi sekiranya aku tidak mengambil peluang yang diberi. Sejujurnya, pada ketika itu, aku sendiri masih lagi samar-samar tentang sejauh manakah peluang itu akan mengubah hidupku pada masa akan datang. Namun, aku dapat merasakan yang ianya satu pilihan yang tepat. Hey seolah-olah memberi aku peluang untuk berkongsi sesuatu dan mengukir senyuman di wajah ribuan orang dan yang pasti, aku perlu bersedia untuk memulakan sesuatu yang baru.
Diterbitkan
oleh : Harry Haider Enterprise, Blok 4-9-9, Vista Angkasa
59200, Kuala Lumpur.
©
Kid Haider, Mohamad Khidir Bin Mohamed Yazir, Khidir
M. Yazir
Terbitan Pertama 2015
Terbitan Pertama 2015
Hak
Cipta terpelihara







No comments:
Post a Comment