Norman menghubungi
aku beberapa hari sebelum itu.
“Marina... ini
saya” kata Norman sebaik sahaja aku menjawab panggilannya. Walaupun
nombor yang digunakan berbeza dengan sebelumnya, aku masih boleh
mengecam suaranya.
" Hai... Mmm..
Norman?" aku pura-pura meneka.
"Awak masih
lagi cam suara saya?" Norman bagaikan tidak percaya. Ternyata
dia kagum apabila aku masih dapat mengenali suaranya walau lama tidak
berhubung melalui telefon.
"Saya kenal
awak bukan sehari dua" aku ketawa kecil. "Kenapa Norman?"
tanyaku selamba. Sejak bertemu dengan Norman di lapangan terbang
beberapa minggu sebelumnya, aku telah berjanji pada diriku bahawa
sekiranya aku berjumpa dengan Norman sekali lagi, aku akan cuba
melayannya seperti kenalan rapatku yang lain.
Norman tidak segera
menjawab, dia terdiam seketika.
"Norman?"
aku sangkakan panggilan terputus.
"Boleh saya
jumpa awak sebentar Marina?" pantas Norman memuntahkan
pertanyaan. Ada satu tekad dalam suaranya itu, dia seolah-olah
mengumpul keberanian dalam diamnya.
"Ada apa
Norman?"
"Saya ingin
bincangkan sesuatu dengan awak" jawabnya dengan tenang.
Aku tidak segera
memberi jawapan, alasan sibuk dengan urusan di Hey aku gunakan
sebagai alasan untuk melengah. Dua hari kemudiannya, Norman cuba
menghubungiku kembali, namun aku tidak menjawab panggilannya. Bukan
sengaja mahu mengelak, aku hanya ingin mengekalkan fokusku di Hey
kerana aku tahu panggilan Norman bersifat emosional dan aku boleh
terbawa dengan emosi jika tidak berjaga-jaga. Akhirnya, selepas
selesai tugasan, aku menghantar pesanan ringkas kepada Norman. Di
dalam pesanan itu aku memohon maaf kerana tidak dapat menjawab
panggilannya. Setelah menerima maklum balas dari Norman dan berbalas
pesanan dengannya, aku bersetuju untuk bertemu dengannya dan kami
mengatur janji.
Dengan perasaan yang
berbelah bahagi, aku melangkah menuju ke tempat yang telah
dijanjikan. Pada hari tersebut, Norman nampak berbeza. Berbeza dari
Norman yang aku jumpa semasa di lapangan terbang. Nampak seperti ada
sesuatu yang sedang menggangu fikirannya. Pada mulanya, kami banyak
mendiamkan diri. Janggal. Itulah perkataan yang boleh aku gunakan
untuk menjelaskan situasi kami ketika itu. Kejanggalan yang berlaku
apabila ada sejarah gelap antara dua pihak. Namun, perlahan-lahan
kami cuba mengayuh.
"So you seem to
enjoy your life now Marina. Happier than ever" Norman membuka
bicara.
"Really? Is it
too obvious?" aku meraba-raba wajahku. Pura-pura mencari dari
mana datangnya kegembiraan yang dikatakan oleh Norman itu.
"It is..."
kata Norman. Dia tertawa dengan gelagatku.
Perlahan-lahan,
perbualan kami menjadi rancak. Bermula dengan kisah kerjaya, kami
beralih kepada cerita tentang keluarga, perkembangan rakan-rakan
rapat kami dan hal-hal semasa.
Sepanjang perbualan,
Norman banyak tersenyum dan dia nampak begitu menikmati perbualan
kami. Namun, pada beberapa ketika, aku dapat lihat yang Norman
sebenarnya sedang berkira-kira untuk menyatakan sesuatu yang terbuku
dalam hatinya. Dia menunggu masa yang sesuai untuk mengatakannya
kepadaku. Norman tidak akan mengajak aku berjanji temu hanya untuk
bercerita tentang perkembangan masing-masing. Aku tahu Norman sedang
memendam sesuatu.
Buat seketika, kami
berdua diam membisu. Kami kehabisan topik untuk dibicarakan.
“Norman. Apa
tujuan awak ajak saya keluar sebenarnya?”aku memberanikan diri
untuk bertanya.
Norman tidak segera
menjawab. Raut wajahnya berubah serius. Seperti ada sesuatu yang akan
menampar ego yang teroles di wajahnya. Dia menarik gelas berisi jus
oren yang berada di hadapannya dan menyedutnya perlahan-lahan.
“Marina"
Norman merenungku. Apabila aku membalasnya kembali, dia menunduk.
Entah malu atau gugup, aku sendiri tidak tahu apa yang dirasainya
ketika itu, "Saya mahu kita kembali seperti waktu dahulu"
kata Norman dengan suara yang perlahan dan tersekat-sekat. "Kita
boleh perbetulkan apa yang tidak betul”sambung Norman lagi.
Apa yang Norman
katakan kepadaku benar-benar membuatkan aku terkejut. Sekelumit rasa
marah terpecik dari dalam jiwa. Aku tidak segera memberikan jawapan.
Aku terdiam.
'Kau datang dan mahu
sambung kembali hubungan yang kau putuskan dahulu. Apa kau fikir ini
seperti kontrak atau pun tender perniagaan?' aku berkata-kata di
dalam hati. Jika ikut hati yang terkejut, marah dan sedih, memang
itulah yang akan terkeluar dari mulutku.
"Sambung
kembali?" soalku kepada Norman dengan suara yang tenang.
"Ya."
jawab Norman mengangguk. Kali ini dia memberanikan dirinya untuk
melihat terus ke mataku.
Aku pula, berusaha
sedaya upaya untuk berlagak tenang. Di dalam fikiranku ketiku itu,
aku tercari-cari ayat yang sesuai untuk aku katakan kepada Norman.
'Sesuatu yang selamat untuk dikatakan'
“Secara jujurnya
Norman, saya tidak nampak apa yang perlu diperbetulkan lagi.
Segala-galanya sudah berakhir antara kita. Fasa saya dan awak sebagai
pasangan yang bercinta telah... Berakhir" terangku kepada
Norman. "Cukuplah Kita sebagai kawan.”
work!
“Tetapi...."
Norman cuba untuk berbicara.
“Norman. Kita
perlu akui yang cinta pernah wujud antara kita. Tetapi bukan untuk
bersama. Mungkin pertemuan kita adalah salah satu cara untuk kita
lebih kenal dengan diri kita."
Norman mengelus
kecil.
"Saya tidak
pernah membenci awak, Tetapi saya tidak fikir hubungan ini akan
menjadi kerana ada banyak perkara yang boleh melemahkan kita berdua
sekiranya kita bersatu”
Pertemuan dengan
Norman membuatkan aku terfikir akan rantaian yang dahulunya tercipta
dengan kata-kata indah antara kami. Jauh di sudut hati, aku terfikir
akan kemungkinan untuk aku mengubah fikiran dan memberikan Norman
peluang yang kedua.
'Hmmm... Tidak.
Tidak mungkin'
Aku sangkakan
pertemuan aku dengan Norman telah menghuraikan segala apa yang
tersimpul antara kami, namun simpulan yang terlerai itu cuba
dicantikkan kembali. Pada hari yang berikutnya, aku menerima
panggilan dari satu nombor yang tidak aku kenali. Seperti biasa, aku
akan jadi sedikit panik apabila menerima panggilan dari nombor yang
tidak dikenali.
"Ini pasti
Norman! Ini satu helah Norman supaya aku tidak menekan Reject atau
membiarkan sahaja panggilannya" kataku kepada Miss B. Ketika itu
kami sedang asyik meneliti senarai topik-topik yang dipaparkan oleh
majalah-majalah dari Jepun.
"Miss B...
Tolong aku.." pintaku kepada Miss B yang sudah empat hari pulang
dari hospital setelah disahkan bebas dari penyakit H1N1.
"Tolong apa
pula?"
"Panggilan ini.
Tolong jawabkan..." aku menunjukkan skrin telefonku kepadanya.
"Jadi kau mahu
aku berlakon menjadi 'penjaga' telefon inilah?"
"Bolehkan?"
aku cuba mempamer mimik muka yang penuh kesedihan.
"Sudahlah.
Tidak perlu buat muka begitu. Macam orang hilang kucing sahaja aku
tengok"
Tanpa banyak soal,
Miss B mengambil telefonku.
“Helo” ucap Miss
B. “Oh! Ini bukan Marina... Ini pembantu dia..." Miss B
mengenyitkan mata. Dia nampak begitu meyakinkan. "Marina? Saya
cuba tengok sama ada dia sibuk atau tidak sekarang ini. Boleh tunggu
sebentar?”
“Perempuan”
bisik Miss B kepadaku.
"Perempuan? Apa
namanya?"
"Sarah... Jawab
sahajalah. Macam sebaya dengan emak kita sahaja gaya suaranya"
Telefon itu
dikembalikan kepadaku.
“Helo”
"Helo. Adakah
itu Marina?" tanya wanita itu.
"Ya."
jawabku. Masih ragu-ragu.
"Ini saya. Puan
Saerah" Oh Tuhan! Nama itu membuatkan jantungku berdegup
kencang. Pantas membawa aku kembali mengenang cerita lalu. Kisah aku,
Norman dan Puan Saerah.
****
Puan Saerah sedang
berdiri dengan megahnya di tengah-tengah lobi sambil membaca Marie
Claire keluaran terbaru. Dia tidak menghiraukan sesiapa pun yang lalu
lalang di situ. 'Haish! Pelik sungguh Puan Saerah ini' kataku di
dalam hati apabila melihat dirinya yang masih mahu berdiri di
tengah-tengah lobi walaupun bangku dan sofa yang disediakan di situ
masih banyak yang kosong. Walau apa pun, dia nampak bergaya dan
sangat menarik. Beberapa kali, orang yang lalu-lalang di situ
terhenti memerhatikannya. Ada yang memalingkan kepala apabila
melepasinya.
Puan Saerah
menghubungi aku dan menyatakan hasratnya untuk berjumpa denganku.
"Hmmmm... ini sudah tentu mengenai Norman" kataku kepada
Miss B selepas dia menamatkan panggilan.
"Dia nampaknya
begitu mengambil berat tentang kau"
"Oh tidak.
Walaupun ini mengenai hubungan aku dan Norman. Norman adalah fokus
utama yang memotivasikannya untuk datang ke sini. Bukan aku. Dia
hanya memenuhi permintaan anak kesayangannya."
Aku melangkah menuju
ke arah Saerah. Mungkin ramai yang mengatakan aku berhalusinasi,
tetapi aku merasakan seperti ada seseorang yang berbisik
kepadaku“pergilah berjumpa dengan Puan Saerah. Cium tangannya.
Peluk dia. Jangan lupa senyum”.
Puan
Saerah dengan pantas dapat mengesan kehadiranku. Oleh kerana dia
jenis yang tidak menghiraukan orang di sekelilingnya, aku sendiri
tertanya-tanya bagaimana agaknya dia dapat mengesan magnet tubuhku
dengan begitu pantas. 'Barangkali dia mempunyai deria ke enam yang
kuat?' ujarku sendirian.
Mungkin aku tidak
sepatutnya ambil kisah sangat tentang hal-hal yang kecil sebegini.
Yang penting, dia tersenyum lebar apabila melihatku. Hmmmm... Hairan.
'Betulkah ini Saerah yang aku kenal dahulu?' kataku sendirian sambil
tersenyum.
“Marina.....”
katanya. Sejurus sahaja aku berada enam puluh sentimeter darinya.
Kami bersalaman dan kemudian berpelukan.
“Marina... I
really miss you.”Dia menatap wajahku.
“Me too. It's been
a while...” balasku.
'Dua orang hipokrit
sedang berlakon di tengah lobi sekarang.' kataku di dalam hati.
Meragui kemesraan Puan Saerah.
“Awak nampak
berlainan sekali sekarang ini Marina...”
“Lain apanya Puan
Saerah?”
“Nampak agak
kurus. Kurang bermaya. Tekanan agaknya ya...”
"Mungkin"
jawabku ringkas. Merasa janggal apabila Puan Saerah melayanku
sebegitu rupa.
“Marina... Jom
kita pergi minum. Saya belanja.”
Aku bersetuju dengan
pelawaannya dan kami berdua melangkah ke sebuah restoran di
CapSquare.
“Marina. Tujuan
saya mengajak kamu ke sini adalah untuk bercakap tentang Norman”
“Sebenarnya saya
tidak tahu apa yang berlaku antara kamu dan Norman, tetapi nampaknya
kamu berdua sudah tidak sefahaman lagi”
“Lebih kurang
macam itulah”
“Saya kenal anak
saya Marina...”
Habislah aku. Dia
ingin membela Norman.
“Dia sebenarnya
masih lagi naïf. Nampak sahaja matang tetapi ada banyak perkara yang
perlu dijelaskan kepadanya." Puan Saerah ketawa kecil. Mungkin
terkenangkan gelagat anaknya itu. "Saya tidak hairan sekiranya
dia sukar memahami, kurang mengambil berat dan kadang-kadang bersifat
suka mengambil mudah. Dia sendiri belum mengenali dirinya sendiri.
Sejak dari mula lagi saya dapat lihat yang kamu berdua kurang serasi”
“Puan
Saerah...”aku terpegun dengan apa yang dikatakan olehnya. Ini kali
pertama aku mendengarnya bercakap dengan nada yang begitu matang.
“Tetapi ini tidak
bermakna yang kamu berdua tiada jodoh. Perkahwinan adalah satu kerja
sepenuh masa. Semua pihak perlu fikir sama ada mereka sudah faham
akan tujuan hubungan itu dan adakah mereka sudah bersedia memberi
komitmen dan masa untuknya ”
Mungkin Puan Saerah
bercakap melalui pengalamannya sendiri. Aku mula menyedari sesuatu
yang selama ini aku lupakan mengenai Puan Saerah. Dia nyata seorang
wanita yang boleh dikatakan sabar menghadapi cabaran rumah tangga.
Bapa Norman, sebenarnya seorang lelaki yang mempunyai banyak sisi
gelap yang kadangkala membuatkan aku tertanya-tanya akan kemungkinan
Norman mewarisinya. Tetapi walaupun begitu dia tidak pernah sesekali
mengabaikan Norman dan Puan Saerah. Aku bercakap dari hati ke hati
dengan Puan Saerah. Tempoh yang singkat itu kami gunakan untuk
berbicara tentang kesediaan kami untuk menghabiskan masa bagi
mencapai tujuan sesebuah perkahwinan.
“Maafkan saya Puan
Saerah. Ada kerja yang perlu diselesaikan.”aku meminta diri.
“Oh! Ya.”Puan
Saerah mengangguk.
“Terima kasih Puan
Saerah”
“Sama-sama.
Fikir-fikirkan apa yang saya katakan tadi ya.”kata Puan Saerah
mengakhiri perbualan.
Diterbitkan
oleh : Harry Haider Enterprise, Blok 4-9-9, Vista Angkasa
59200, Kuala Lumpur.
©
Kid Haider, Mohamad Khidir Bin Mohamed Yazir, Khidir
M. Yazir
Terbitan Pertama 2015
Terbitan Pertama 2015
Hak
Cipta terpelihara
No comments:
Post a Comment