Setiap orang pasti akan
menghadapi detik-detik di mana dia perlu menghadapi permulaan baru
dalam hidupnya. Ia semestinya sesuatu yang sukar. Membiasakan diri
dengan sesuatu yang baru sememangnya mengambil masa. Begitu juga
dengan perubahan yang aku hadapi. Bukan senang untuk aku menyesuaikan
diri dengan segala-galanya yang serba-serbi baru. Apabila menghadapi
saat-saat ini, kadang-kadang, aku berasa putus asa dan letih dengan
kehidupan. Kadang-kadang, aku tertanya-tanya kenapa aku harus lakukan
semua ini? Kenapa mesti bekerja? Kenapa perlu beli itu dan ini? Apa
tujuannya? Ke manakah hala tujunya semua ini?
Aku pasti ada jawapan tersendiri
untuk soalan-soalan ini dan aku juga tahu sekiranya aku berasa takut
akan sesuatu tanpa sebab yang munasabah, itu bermakna aku perlu
tangani rasa itu dan cuba untuk melakukannya.
"Apa yang kau takutkan
sebenarnya?" tanya Ally. Ketika itu, aku dan Gina sedang
bersarapan di Dr Love.
"Banyak yang aku takutkan.
Berdepan dengan senior, tugas-tugas baru dan macam-macam lagi"
"Biasalah. Itu perasaan
biasa bagi orang baru. Lama-lama nanti, kau biasalah"
"Satu lagi, aku takut kalau
mereka harapkan sesuatu yang besar daripada aku"
"Maksud kau, kau takut kalau
mereka mahukan yang terbaik dari kau?"
"Mengapa kau perlu rasa
takut?"
"Entahlah. Aku resah
memikirkan tentang semua ini"
Namun, semua itu tidak menghalang aku untuk berkata 'ya' apabila aku ditawarkan untuk bekerja di Hey.
Namun, semua itu tidak menghalang aku untuk berkata 'ya' apabila aku ditawarkan untuk bekerja di Hey.
Chan yang memanggil aku datang ke
temuduga telah menghubungiku semula dan memberitahu khabar gembira
berkenaan dengan temuduga itu kepadaku. Aku dikehendaki datang
melaporkan diri pada hari selasa berikutnya dengan berpakaian kasual
kemas.
*****
Tepat
pada hari dan masa yang dijanjikan, aku datang ke Terry
Lee Publication.
Dengan semangat yang berkobar, aku bangun seawal pukul lima setengah
pagi untuk bersiap. Pada hari itu, aku mengenakan baju merah pekat
yang aku beli khas untuk dipakai pada hari pertama aku di Hey.
Setibanya aku di sana, aku bertemu dengan Chan. Selepas
menandatangani beberapa dokumen penting dan diberi serba sedikit
penerangan tentang protokol, cuti tahunan, cuti sakit, gaji, pantri,
bilik rehat dan bermacam-macam lagi perkara yang berkaitan dengan Hey
dan Terry Lee Publication, aku dibawa oleh Chan ke bahagian editorial
Hey atau pun menurut Chan, boleh sahaja dipanggil sebagai Editorial.
Di situ, Chan memperkenalkan aku kepada semua yang bekerja di
Editorial seperti Rushdee, Teresa dan Dee. Menurut Chan, ketiga-tiga
mereka iaitu Rushdee, Teresa dan Dee adalah antara orang-orang yang
penting di Hey. Mereka amat berbakat dan idea mereka sentiasa
didengari oleh ketua editor dan pihak operasi Terry Lee. Aku juga
dibawa berjumpa dengan Carmen dan Susan yang menemudugaku tempohari.
Ketika bersemuka, mereka nampak gembira apabila dapat bertemu
denganku. Mereka mengucapkan selamat dan berharap agar aku akan
gembira sepanjang berada di Hey.
Selepas segala-galanya selesai,
aku di bawa ke tempat di mana aku akan menghabiskan kebanyakan masaku
iaitu meja tempat aku bekerja. Ia terletak bersebelahan dengan tempat
masuk ke Editorial. Ketika itu, aku terfikir, selain dari menjadi
kerani, aku juga pasti akan menjadi penyambut tetamu untuk bahagian
Editorial secara tidak rasmi. Meja yang diberikan kepadaku adalah
sebuah meja bersaiz sederhana yang masih berbalut dengan kertas
berwarna hitam. Terdapat beberapa pelekat Emily The Strange yang
masih belum ditanggalkan dan gambar-gambar kucing hitam yang amat
menyeramkan. Ingin sahaja aku bertanya siapakah agaknya yang duduk di
meja itu dahulu. Namun, aku diamkan sahaja hasratku memandangkan itu
adalah hari pertamaku dan aku tidak mahu dilabel sebagai orang yang
banyak karenah.
"Marina,
ini meja awak. Kemaslah apa yang patut" kata Chan kepadaku.
"Boleh
saya tanggalkan pelekat-pelekat ini Chan?"
"Silakan...
Bawalah bunga atau apa sahaja yang awak suka nanti" kata Chan
sambil tertawa.
Sejurus
sahaja Chan berlalu, tiga
orang wanita bertubuh kecil datang mendekatiku. Aku tertanya-tanya
siapa agaknya mereka semua. Semasa Chan membawa aku ke sekitar
kawasan pejabat, tidak pula aku nampak kelibat mereka. Mataku
terpukau dengan penampilan mereka bertiga yang nampak begitu menarik
sekali. Ketiga-tiga mereka nampak begitu cantik dan mempesonakan.
Masing-masing mengenakan pakaian dengan warna-warna yang berbeza
iaitu kuning, hijau dan merah. Dari hujung rambut ke hujung kaki,
semuanya nampak sempurna.
"Apa nama?" tanya salah
seorang dari mereka yang mengenakan baju berwarna kuning.
"Saya Marina. Kamu semua
pula?"
"Kami?" tanya wanita
itu. Mereka ketawa kecil sambil berpandangan antara satu sama lain.
"The Urban Fruits?"
tanyaku hairan.
"Ya. Saya Miss Banana, ini
Miss Durian dan itu Miss Rambutan" wanita berbaju kuning itu
memperkenalkan dirinya dan dua lagi kawannya yang mengenakan baju
hijau dan merah.
"Wow! Jadi semua orang
panggil kamu semua Banana, Durian dan Rambutan di sini?"
"Oh. Okey! Comel! Sangat
comel!" pujiku ikhlas.
Aku berkenalan dan berbual pendek
dengan mereka. Ternyata, mereka amat baik dan menyenangkan. Aku sudah
dapat merasakan yang kami akan menjadi tim yang baik di Hey. Namun,
aku tetap memberitahu diriku untuk sentiasa berhati-hati dan
berjaga-jaga baik dari segi perlakuan dan percakapan. Lebih-lebih
lagi, itu adalah hari pertamaku di situ. Masih terlalu awal untuk aku
menilai dan meruntuhkan dinding privasiku.
Harry yang pada hari itu
menyiapkan tugasan di luar sempat datang menjengukku. Namun, dia
tidak naik ke atas. Kami hanya sempat berjumpa di Capital Square.
Pada saat itu, aku sudah berkenalan dengan hampir semua orang di
sana. Hanya seorang sahaja yang belum aku jumpa iaitu Daniel, ketua
editor majalah Hey.
"Di mana Daniel agaknya ya?
Saya tidak jumpa langsung dengan dia" tanyaku kepada Harry yang
sedang asyik menikmati makan tengahari.
"Daniel ada tugasan di luar.
Nanti dia akan pulang semula ke pejabat"
"Oh begitu. Susah juga
hendak berjumpa dengan dia. Semasa hari temuduga pun saya tidak jumpa
dia"
"Kalau awak sudah kenal
dengan Daniel nanti, awak kena berjaga-jaga. Jangan rapat-rapat
sangat dengan dia" Harry seperti memberi amaran.
"Kenapa pula?"
"Dia lelaki yang penuh
misteri dan merbahaya!" kata Harry penuh dramatik. Namun,
senyuman yang tidak pernah lekang dari wajahnya jelas menunjukkan
yang dia hanya bercanda.
"Misteri dan merbahaya? Dia
makan orangkah? Luculah awak ini" aku tertawa kecil.
"Awak ingat saya main-main
ya?Awak tengoklah nanti. Jangan cakap saya tidak bagi amaran"
kata Harry lagi. Aku hanya mengiakan sahaja kata-katanya.
*****
Hari-hari berikutnya, aku mula
melakukan tugas-tugasku sebagai seorang kerani. Bermacam-macam
dokumen yang diberikan kepadaku. Perlahan-lahan, aku belajar dan
bertanya kepada semua orang yang berada di sana. Semestinya, Google
menjadi teman apabila aku kebuntuan. Nampaknya, tugas seorang kerani
di Hey lebih daripada apa yang aku sangkakan. Ianya jauh berbeza dari
tugas-tugas perkeranian yang pernah aku lihat di Nona Silk. Mungkin
perbezaan fokus kedua-dua syarikat itu menjadikan bebanan kerja
seorang kerani berbeza dari segi tanggungjawab, skop kerja dan
cabarannya. Walau apa pun, aku menyukai apa yang aku lakukan ketika
itu dan aku amat gembira kerana dapat merasai pengalaman itu.
Pada
hari Jumaat minggu pertama aku bekerja, Rani
mengajakku
ke Amcorp Mall. Rani
menghubungiku
beberapa jam sebelum masa kerjaku berakhir. Katanya, dia mahu mencari
bahan-bahan jahitan. Aku bersetuju dan setelah menyelesaikan apa yang
patut, kami berdua terus ke Amcorp Mall untuk menunaikan hajat Rani.
Di sana, aku membantunya memilih bahan-bahan jahitan yang sesuai
dengan apa yang diinginkannya. Menurut Rani, dia ingin menjahit
langsir untuk pejabat. Ianya sebagai tanda ingatan kepada semua
sebelum dia berhijrah ke TNS Kuching.
"Tidak sangka kau akan ke
Kuching nanti" kataku dengan nada yang melankolik. Kami duduk
sebentar di taman berdekatan selepas selesai mencari barang yang
dicari.
"Tidak dapatlah jumpa kau lagi"
"Kuching dengan KL kalau
naik kapal terbang sekejap sahaja Marina. Aku pun bukannya tidak
balik. Kalau raya atau cuti nanti aku baliklah. Lagi pun memang
kampung aku pun di KL. Aku memang akan balik juga nanti"
"Betul juga. Mungkin aku
sahaja yang terlebih beremosi"
"Kau
memang selalu begitu. Eh! Kau sudah berjumpa dengan ketua Editor? Apa
nama dia? Daniel bukan?" tanya Rani
kepadaku.
"Belum lagi. Harry beritahu
aku, Daniel kini berada di Jakarta untuk sesi pengambaran"
"Daniel bawa Harry
bersama-sama dengannya?"
"Ya. Harry beritahu yang
Daniel selalu membawanya ke mana-mana sahaja kerana dia percaya
dengan pendapat dan pandangan Harry"
"Ini
bermakna, sesiapa sahaja yang mempunyai hubungan dengan Harry perlu
bersaing dengan Daniel nampaknya" kata Rani.
Aku tahu dia cuba untuk melihat responku.
"Mungkin..." jawabku
selamba.
"Bagaimana dengan rakan
sekerja kau di sana Marina? Mereka semua okey?"
"Setakat ini masih okey
lagi. Harap-harap tidak ada apa-apa yang berlaku nanti"
"Mesti ada sesuatu yang
berlaku nanti. Pejabat mana yang tiada drama. Kau tunggu dan lihat
Marina!"
"Ish! Kau ini Rani, buat aku
takut sahajalah. Kau buat aku bertambah risau"
"Aku sengaja hendak tengok
kau macam mana..." Rani ketawa terbahak-bahak. "Apa yang
kau risaukan sebenarnya Marina?"
"Risau
ada, takut pun ada. Sekali lagi aku terpaksa memulakan segala-galanya
semula..." aku menyuarakan keresahanku kepada Rani
.
"Ianya
satu permulaan yang baik Marina. Satu permulaan yang sangat baik''
kata Rani
sambil
tersenyum.
"Harap-harap begitulah..."
balasku kembali.
Diterbitkan
oleh : Harry Haider Enterprise, Blok 4-9-9, Vista Angkasa
59200, Kuala Lumpur.
©
Kid Haider, Mohamad Khidir Bin Mohamed Yazir, Khidir
M. Yazir
Terbitan Pertama 2015
Terbitan Pertama 2015
Hak
Cipta terpelihara













No comments:
Post a Comment