''Fuh! Penat betul hari ini.
Tidak sabar rasanya hendak merebahkan diri ke katil'' kataku kepada
Daniel ketika kami sedang jalan beriringan dari bilik pejabat Daniel
menuju ke lif.
''Perut saya ini pula sudah
berkeroncong sedari tadi. Kesian dia..." kata Daniel sambil
mengusap-usap perutnya.
Hampir sepanjang hari, kami
menghabiskan masa pada hari itu untuk berjumpa dengan beberapa penaja
berkenaan dengan konsep iklan yang akan dimuatkan di dalam Hey.
Bercakap tentang iklan
mengingatkan aku kembali akan apa yang pernah aku tulis untuk laman
web sekolah berkenaan dengan sisi gelap iklan. Ketika itu, aku
menulis tentang pengaruh negatif iklan dan impaknya kepada dunia.
''Dan kini awak bekerja dengan
syarikat yang mana sebahagian besar pendapatannya bergantung kepada
iklan.'' kata Daniel tertawa dengan ceritaku.
''Ya. Sungguh ironik bukan?''
"Marina. Apa kata kalau kita
pergi makan?"
"Boleh juga. Awak hendak
makan di mana?"
"Hmm. Cadangan yang baik.
Lama juga saya tidak ke sana"
"Okey. Jom kita pergi!"
kata Daniel. Begitu bersemangat sekali untuk mengisi perutnya yang
kosong.
Sampai sahaja di sana, kami
berterusan bercakap tentang kriteria iklan yang akan dimuatkan di
dalam Hey sambil menikmati makan malam kami.
''Sebelum ini sejujurnya saya
tidak pernah tahu awak mempunyai prinsip tentang iklan yang dipilih
untuk dimuatkan di dalam Hey''
''Sekarang awak sudah tahu
bukan?''
"Ya" aku mengangguk.
"Tetapi kenapa ya? Ramai
yang terkejut apabila saya katakan tentang prinsip saya ini. Mereka
fikir saya akan bersetuju sahaja untuk segala jenis iklan dimasukkan
ke dalam Hey"
"Mungkin awak nampak seperti
seorang mata duitan"
"Apa? Mata duitan? Saya?"
tanya Daniel. Dia tidak menyangka itu yang akan keluar dari mulutku.
Namun, tetap tertawa kerana baginya itu satu gelaran lucu yang pernah
diberikan kepadanya.
"Janganlah serius sangat.
Saya bergurau sahaja. Jadi Daniel, beritahu saya, kenapa awak
tetapkan peraturan sebegitu untuk iklan-iklan yang dimuatkan di dalam
Hey?"
''Iklan hanya agen untuk
memberitahu. Itu tugasnya dan itulah yang saya mahukan di dalam Hey
dan satu kenyataan yang perlu kita tahu adalah, kita tidak akan jadi
seperti pelakon iklan walaupun kita menggunakan produk yang sama.
Lagi pun Marina, saya tidak mahu pembaca Hey terperangkap dan fikir
mereka perlukan sesuatu yang sebenarnya tidak diperlukan apabila
mereka membaca iklan yang kita muatkan'' terang Daniel kepadaku.
''Tetapi katakanlah satu hari
nanti ada wartawan yang menanyakan hal ini kepada awak. Apa yang awak
akan jawab? Saya tidak fikir jawapan tadi 'cool' terutama sekali bagi
mereka yang sinikal''
''Dalam perkara ini, saya pilih
untuk jadi skema dan menjawabnya dengan ringkas. Saya akan cakap yang
ini adalah satu tanggungjawab sosial saya kepada pembaca Hey''
"Dan saya tidak dapat
bayangkan riak muka awak bila awak jawab soalan itu" kataku
sambil tertawa.
"Tetapi percayalah. Mereka
tidak akan tanya. Tiada siapa pun yang kisah tentang iklan-iklan yang
tersiar. Apatah lagi menganalisanya." kata Daniel dengan yakin.
"Ya. Itu cerita wajib
apabila bercakap tentang iklan. Kasihan sungguh pada mereka yang
digunakan untuk 'ujian' itu"
"Sewaktu di sekolah dahulu,
cikgu pernah menyuruh kami berlakon berdasarkan cerita Czech Dream.
Semua orang diminta membayangkan apakah yang akan mereka lakukan
sekiranya mereka berada di tempat pelanggan-pelanggan dalam cerita
itu"
"Jadi apa yang awak
lakukan?"
"Saya ambik botol air dan
pura-pura menelefon polis"
"Konon-kononnya awak buat
laporan yang awak ditipu?" Daniel cuba meneka.
"Ya...." kataku
mengangguk.
"Hmmm..."
"Kenapa? Awak rasa ianya
kurang kreatif?"
"Ianya kreatif.
Sekurang-kurangnya awak jadi lain dari yang lain. Tetapi kalau saya
jadi cikgu awak. Saya tidak akan tertarik" terang Daniel jujur.
"Baiklah. Kalau awak pula
bagaimana? Apa yang awak akan lakukan?"
"Seperti mana yang awak
lakukan, saya akan mengambil botol air dan membayangkannya seperti
sebuah telefon. Tetapi saya tidak akan menelefon pihak polis"
"Jadi. Awak akan telefon
siapa?"
"Saya akan telefon pihak
bomba"
"Aik. Lagi pelik. Kenapa
pula awak hendak telefon bomba"
"Saya akan kata 'Tolonglah
datang segera, api kemarahan mereka sedang membara di sini!'"
Daniel cuba melakonkan watak itu dengan penuh perasaan.
"Serius! Ianya kedengaran
poyo. Awak pasti akan jadi bahan budak-budak lelaki selepas itu"
kataku sambil menahan gelak.
"Tetapi sekejap sahaja saya
jadi bahan. Selepas itu, kedudukan saya akan naik semula sebab
budak-budak perempuan akan mula hantar surat untuk beritahu betapa
kreatifnya saya"
"Daniel. Tolonglah... Awak
ini perasan lebih awak tahu?"
Belum sempat Daniel membalas
kata-kataku, seseorang menghubungiku. Melihat kepada nama pemanggil
yang tertera, aku pantas menjawab panggilan itu.
"Hello.." ucapku dengan
ceria.
"Hai Marina..."
"Hai Sandy. Apa khabar?"
"Kau sudah bersalin?
Syukurlah Sandy. Anak kau lelaki atau perempuan?"
"Perempuan dan aku namakan
dia seperti yang kau cadangkan tempohari"
"Oh ya! Baguslah kalau
begitu. Ayahnya setuju dengan nama itu?"
"Setuju... Nash tidak banyak
soal. Dari semalam, dia asyik menggentel budak itu sahaja. Aku tidak
dapat peluang pun"
"Kau ini pun. Dia seronoklah
dapat timang anak. Anak sulunglah katakan. Kau sudah usung budak itu
dalam perut selama sembilan bulan. Sekarang biar dia pula yang
dukung"
"Bila kau hendak datang
melawat?"
"Nanti aku cuba cari masa
yang sesuai"
"Okey. Aku tunggu ya. Nanti
bila-bila senang aku telefon kau lagi.."
"Jaga diri okey. Kirim salam
pada Nash.."
Aku menamatkan panggilan dan
mengembalikan fokusku kepada Daniel.
''Wah! Bukan main seronok lagi
awak berbual. Siapa?'' tanya Daniel.
''Kawan saya. Dia baru sahaja
bersalin semalam''
"Oh begitu." Daniel
mengangguk-anggukkan kepalanya tanda faham. ''Hmm.. Jadi boleh saya
tahu. Ini berita yang ke berapa untuk tahun ini?''
''Ha?'' aku kurang mengerti.
''Maksud saya. Sudah berapa orang
kawan awak yang melahirkan anak pada tahun ini?''
''Ini yang ke enam Daniel''
''Yang ke enam... Ramai
juga.Jadi. Tidakkah mereka buat awak risau?''
''Tidak. Apa yang perlu saya
risaukan?''
"Kebanyakkan perempuan yang
saya jumpa akan risau dan mula membilang umur mereka"
"Sebenarnya kadang kala saya
pernah terfikir mengenainya. Bohonglah kalau saya kata yang saya
langsung tidak risau. Tetapi saya percaya jika diizinkan tuhan,
giliran saya akan datang pada satu hari nanti. Cuma buat masa
sekarang, saya cuba fokus untuk diri sendiri dahulu. Bila semuanya
sudah okey, saya akan alihkan fokus saya kepada perkara-perkara yang
lain pula"
"Tetapi bila? Awak tidak ada
apa-apa rancangan khusus?" tanya Daniel. Dia seperti mahu
mengujiku.
"Tiga atau lima tahun akan
datang. Tetapi semua ini kita tidak boleh duga. Siapa tahu, ianya
akan terjadi tahun hadapan"
"Hmm.. Sudah ada calon ayah
yang sesuai?"
"Saya ada beberapa nama yang
berpotensi untuk membantu saya ke arah itu"
"Not bad" kata Daniel
sambil mengangguk-anggukkan kepalanya. Satu senyuman manis terukir di
wajahnya.
''Oh ya. Anak kawan awak itu
lelaki atau perempuan Marina?'' tanya Daniel
''Perempuan''
''Sudah diberi nama? Kalau belum,
saya ada beberapa idea untuk nama budak itu''
''Jennifer...'' sebut Daniel
lembut. Dari caranya itu, aku tahu dia sukakan nama itu.
''Ya. Jennifer. Sedap bukan?''
''Sedap. Tetapi kenapa
'Jennifer'?''
''Entahlah. Saya sukakan nama
itu. Ianya satu nama yang sangat feminin. Kebanyakkan Jennifer yang
saya kenali adalah wanita-wanita yang sangat menawan''
"Contohnya?"
''Contohnya seperti Jennifer Love
Hewwit, Jennifer Lopez, Jennifer Aniston dan ramai lagi Daniel"
"Maksud awak, nama boleh
menjadikan seseorang itu cantik?"
"Kadangkala awak ini lucu
juga Daniel. Bukan begitu maksud saya. Nama tidak akan boleh mengubah
fizikal seseorang. Cuma, saya sukakan nama itu. Ianya satu nama yang
sedap didengar dan disebut. Kebetulan pula ramai orang-orang cantik
yang memiliki nama itu"
"Okey. Okey. Saya faham"
kata Daniel. Dia termenung seketika. Seperti ada sesuatu yang
menggangunya.
''Kenapa Daniel? Awak okey?''
Daniel hanya tersenyum. Namun
senyuman yang dilemparkan itu tawar.
''Awak tahu Marina..."
"Apa dia?"
"Bekas teman wanita saya
juga bernama Jennifer''
''Betulkah?'' aku pasti riak
wajahku nampak sedikit teruja pada ketika itu kerana kali pertama
Daniel bercakap mengenai hal itu kepadaku. Hatiku berbunga-bunga.
''Betul...'' Daniel menjawab
dengan perlahan.
''Awak mahu bercakap
mengenainya?''
''Awak tidak kisah jika saya
minum Marina?'' tanya Daniel.
''Tidak. Saya okey'' kataku
walaupun jauh di lubuk hati, aku sebenarnya berasa kurang selesa.
Namun apa lagi pilihan yang aku ada? Dan siapa pula aku untuk
menghalangnya?
Daniel tersenyum. Dia meneruskan
hasratnya dan menempah segelas bir bersaiz besar. Daniel mula
bercerita tentang Jennifer. Tentang hubungannya dengan bekas teman
wanitanya itu. Tentang bagaimana dia mengagumi Jennifer. Tentang
Karisma yang dimiliki oleh wanita itu, warna kulitnya, bahasa yang
dituturkan dan banyak lagi.
Aku cuba mendengar dan memahami
apa yang diluahkan oleh Daniel. Nampaknya dia benar-benar
menyayanginya. Aku cuba membayangkan rupa bentuk wanita itu seperti
mana yang diceritakan oleh Daniel. Dalam diam aku tiba-tiba
mencemburui Jennifer. 'Siapakah wanita ini? Sehinggakan Daniel begitu
tergila-gilakannya?' aku tertanya-tanya.
Di saat Daniel membuka cerita
tentang perpisahan mereka, aku nampak jelas betapa kecewanya dia
dengan perpisahan itu. Dia masih terkesan dengan apa yang berlaku.
Menurutnya, dia menyimpan banyak impian dan harapan pada hubungannya
dengan Jennifer. Malang sekali, ianya tidak kesampaian.
''Saya sangkakan cinta kami
adalah cinta sejati! Tetapi...'' Daniel menjadi semakin beremosi.
''Sekiranya Jennifer ingin
kembali semula kepada awak, adakah awak akan menerimanya semula?''
Daniel diam. Dia meneguk lagi bir
yang berada di hadapannya. Untuk yang ke berapa kali, pelayan telah
dipanggil ke meja untuk menambah bir ke dalam gelas Daniel.
''Awak tahu Marina..."
Daniel menyambung ceritanya. Soalanku dibiarkan tidak berjawab. Kali
ini dia tersenyum.
"Apa dia Daniel?"
" Awak dan Jennifer punyai
karisma yang sama. Kelakuan awak, cara awak berkomunikasi, gerak laku
dan suara. Semua mengingatkan saya tentang Jennifer. Sebab itu saya
suka sangat apabila awak setuju untuk bekerja di Hey. Awak mengubati
kerinduan saya pada Jennifer'' kata Daniel.
''Serius?'' aku memberi ekspresi
seolah-olah dia sedang berjenaka. Aku cuba tersenyum walaupun apa
yang diberitahunya benar-benar membuat aku tersentak. Namun, aku
ketepikan dahulu perasaanku itu kerana aku tahu yang Daniel sudah
mulai mabuk.
''Daniel. Saya rasa awak patut
berhenti minum''
''Tidak. Saya okey''
Aku membiarkan seketika Daniel
dalam dunianya sementara aku cuba mencari jalan keluar. Daripada
Jennifer, dia mula bercakap tentang perangai rakan-rakannya yang
buruk. Kemudian Daniel mula mengarut dan bercakap tentang kehidupan
singa yang ditontonnya di Animal Planet dan tentang UFO yang
konon-kononnya melawat villa yang pernah didudukinya di Puncak Alam.
Sama ada yang 'dilihatnya ketika
itu' UFO atau antena Astro, aku tahu aku tidak boleh membiarkan
Daniel berterusan sebegitu. Sebelum dia memberi deskripsi mengenai
objek itu dan menarik perhatian seluruh orang yang berada di Asia
Cafe, aku perlu menguruskan Daniel dengan segera.
Tambahan pula, apa yang
dikatakannya berkenaan dengan Jennifer juga membuatkan aku menjadi
sedikit resah kerana dia mungkin akan 'melihat' aku sebagai Jennifer
dan bukan Marina. Jika Daniel mulai melihat aku sebagai Jennifer,
macam-macam yang boleh berlaku.
Lantas, aku terus menghubunginya
adiknya Sarah yang kebetulan berada di Kuala Lumpur pada ketika itu.
Sarah berjanji untuk datang segera. Dia kedengaran cemas apabila aku
memberitahunya tentang Daniel, namun aku menyuruhnya bertenang kerana
aku akan cuba sedaya upaya untuk melayan karenah Daniel yang sedang
berlayar dalam dunianya sendiri.
''Oh Danny. Bagaimana boleh jadi
begini?'' kata Sarah apabila melihat keadaan abangnya itu. ''Sudah
lama dia tidak berkelakuan sebegini. Marina. Apa sebenarnya yang
berlaku?''
''Dia terlalu banyak minum.
Sebentar tadi, kami hanya makan malam dan duduk berbual tentang
kerja. Tetapi apabila dia mula bercakap dengan Jennifer...''
''Jennifer?'' tanya Sarah
bagaikan tidak percaya.
''Ya...''
''Huh!'' keluh Sarah sambil
menggeleng-gelengkan kepalanya.
''Tidak mengapalah Marina. Saya
bawa dia balik. Maaf kerana susahkan awak tadi. Terima kasih banyak
ya..''
"Tiada apa-apalah Sarah.
Kalau ada apa-apa nanti jangan lupa beritahu saya."
"Tiada masalah Marina. Kita
jumpa lain kali ya"
"Semestinya..."
Sarah berlalu membawa Daniel
pulang ke rumahnya dan bermula dari saat itu, rasa ingin tahu aku
tentang Jennifer membuak-buak. Aku ingin sekali bertanya dengan lebih
lanjut kepada Sarah berkenaan dengan hubungan Daniel dan Jennifer.
Namun bagaimana jika dia menyampaikannya kepada Daniel? Begitu juga
dengan rakan-rakan sekerjaku yang lain. Apa pula kata mereka nanti?
Pasti akan ada yang bergosip tentang aku dan jika sampai ke
pengetahuan Daniel, Ah! aku pasti akan berasa amat-amat malu.
"Cubalah kau cari di
Google." cadang Ally.
"Ya. Walaupun dia bukan
Khairy Jamaluddin atau Aaron Aziz. Tetapi orang tetap kenal dia. Aku
pasti mesti ada cerita tentang dia dan Jennifer dahulu. Cubalah.."
Walaupun ragu-ragu pada mulanya,
aku merasakan apa yang dicadangkan oleh Ally itu boleh dipakai. Lalu,
dengan perasaan ingin tahu yang membara, aku memasukkan 'Daniel Hey
Editor & Jennifer' ke dalam kotak carian.
"Macam mana? Ada?"
tanya Ally.
"Ya. Ada beberapa link yang
membawa aku kepada laman-laman gosip." Aku membuka beberapa
laman tersebut. "Ya! Ada cerita-cerita lama tentang Daniel dan
bekas teman wanitanya Jennifer" kataku kepada Ally dengan penuh
bersemangat.
Aku menghabiskan masa berjam-jam
membaca artikel-artikel dan cerita-cerita yang akui temui itu.
"Hmmm... Menarik..."
kataku sendirian sebaik sahaja aku habis membacanya. Aku menatap
gambar-gambar wanita bernama Jennifer Adams itu. Secara jujurnya, aku
akui dia adalah seorang wanita yang sangat menarik. Dia merupakan
seorang pensyarah dalam bidang bahasa dan komunikasi di Universiti
Kebangsaan Malaysia dan fasih bertutur dalam bahasa Melayu, Inggeris,
Perancis dan Arab. Jennifer pernah melibatkan diri dalam beberapa
penerbitan yang tertumpu kepada kajian dalam bidang psikolinguistik.
"She's pretty, she could be
a movie star if she wanted to" kata Ally yang tidak henti-henti
memujinya. Dan aku rasa ramai lagi yang sependapat dengan Ally.
Malah, aku rasa dia juga pernah terfikir untuk melibatkan diri dalam
bidang perfileman tetapi hubungannya dengan Daniel yang memberi
peluang kepada Jennifer untuk berkenal rapat dengan ramai orang di
media mungkin membuatkan dia berfikir dua kali.
"She doesn't look like me,
tetapi jika Daniel menyamakan aku dengan wanita sebegini, aku
sepatutnya berasa bangga" kataku kepada Ally.
"Ya. Mungkin kau perlu
bersemuka dengannya. Kemudian barulah kau tahu kenapa Daniel
menyamakannya dengan kau"
Diterbitkan
oleh : Harry Haider Enterprise, Blok 4-9-9, Vista Angkasa
59200, Kuala Lumpur.
©
Kid Haider, Mohamad Khidir Bin Mohamed Yazir, Khidir
M. Yazir
Terbitan Pertama 2015
Terbitan Pertama 2015
Hak
Cipta terpelihara









No comments:
Post a Comment