"Ada apa yang berlaku?"
tanyaku kepada Miss R sebaik sahaja aku sampai di pejabat. Suasana di
Hey ketika itu sedikit berbeza dari hari-hari yang lain.
Masing-masing nampak begitu sibuk sekali. Aku melihat jam di tangan.
Aku sangkakan, aku yang lambat sampai ke pejabat. Namun, jam
menunjukkan yang aku masih ada lagi dua puluh minit sebelum waktu
kerja bermula.
"Daniel sudah kembali ke
pejabat!" jawab Miss R. Dia berlalu meninggalkan aku dan segera
keluar dari bahagian editorial dengan membawa beberapa dokumen di
tangan.
"Habislah aku! Habislah
aku!" Miss B pula masuk ke bahagian editorial dengan keadaan
yang kelam-kabut. Dia terus mengambil tempat duduk di sebelahku.
"Marina pinjam pen"
belum sempat aku memberi kebenaran, dia pantas mengambil pen yang
baru aku beli itu dan menulis sesuatu di atas beberapa helaian kertas
yang dipegangnya.
Aku mula mengemas apa yang patut.
Itu rutin harianku sebelum aku memulakan tugas. Tidak berapa lama
kemudian, Chan pula masuk ke Editorial. Wajahnya nampak tenang
seperti biasa. Namun, langkah yang diaturnya pantas. Nampak jelas dia
sedang bersegera. Dia datang ke mejaku.
"Marina.
Beri saya dokumen yang
saya beri
pada awak semalam" kata Chan.
"Okey. Sebentar ya" Aku
segera mencari fail yang dikehendakinya itu di dalam laci dan
menyerahkannya kepada Chan. Miss B yang berada di sebelah kiriku
tetap tekun dengan apa yang dilakukannya. Dia tidak langsung
mengendahkan kehadiran Chan.
"Ini dia Chan"
"Terima kasih" pantas
dia mengambil fail yang aku hulurkan kepadanya dan terus meluru
menuju ke biliknya. Namun setelah beberapa langkah, dia berpaling
semula.
"Oh Ya! Marina, awak tahu
Daniel akan datang ke pejabat hari ini?" tanya Chan kepadaku.
Dia nampak serius.
"Ya" aku
mengangguk-anggukkan kepalaku.
"Bagus" Chan terus
berlalu meninggalkan aku dan Miss B.
"Sibuknya kamu semua..."
kataku kepada Miss B.
"Ada banyak lagi yang tidak
siap Marina. Sebab itulah...! Daniel sepatutnya masuk pejabat esok.
Bukan hari ini!"
"Daniel akan marah kita
semua nantikah Miss B?"
"Tidak. Tetapi kami tidak
mahu dia fikir yang kami tidak mampu untuk bekerja tanpa seliaannya"
jawab Miss B.
"Oh begitu...." kataku
tanda faham.
"Hai! Semua baik-baik sahaja
di sini?" seorang lelaki berkaca mata tiba-tiba sahaja datang ke
bahagian editorial. Miss B tercengang untuk seketika.
"Ya... Ya.. Daniel. Semua
okey" jawab Miss B. Dia tergagap-gagap.
'Oh! Ini rupanya Daniel...'
hatiku berkata-kata. Aku memerhatikan lelaki itu dengan teliti semasa
dia bercakap dengan Miss B. Ketika itu, fikiranku didatangi berbagai
persoalan kerana wajah Daniel nampak begitu biasa sekali bagiku. Aku
yakin yang aku pernah melihatnya sebelum pertemuan kali pertama itu.
Tetap bila? dan di mana? Aku tertanya-tanya.
Daniel tidak begitu mengendahkan
aku pada awalnya. Dia hanya mampu memberikan senyuman yang biasanya
diberikan seseorang kepada orang yang tidak dikenalinya. Apabila Miss
B memperkenalkan aku sebagai kerani baru di situ kepadanya, barulah
dia bertanya itu dan ini kepadaku.
"Chan ada di dalam pejabat?"
tanya Daniel kepadaku.
"Ya..." aku mengangguk
pantas.
"Terima kasih" Daniel
meninggalkan aku dan Miss B. Dia berlalu mencari Chan.
'Boleh
tahan juga' hatiku terdetik berkata. Aku cuba untuk kembali
menyiapkan kerjaku. Namun, dua puluh peratus perhatianku tetap pada
lelaki bernama
Daniel yang baru sahaja aku temui itu. Warna kulitnya
cerah, dia
berpakaian
kemas, berkaca mata Calvin Klein, berkarisma dan mempunyai
personaliti yang sungguh menawan. Jauh daripada apa yang pernah Harry
ceritakan padaku.
"He
looks familiar to me but hmmm..."
beritahuku kepada Miss B.
"Who?
Daniel?"
"Yup"
aku mengiyakan tekaannya.
"Maybe
you meet him in a dream that you forget. It always happen you know''
kata Miss B separuh berbisik. Aku hanya tersenyum. Aku ingin berfikir
dengan lebih lanjut lagi mengenainya. Namun, aku terpaksa menyimpan
hasratku itu untuk sementara waktu kerana kerjaku yang bertimbun.
Rata-ratanya, fail-fail yang diberikan kepadaku diletakkan label
'urgent'
dan 'emergency'.
Satu jam kemudian, Harry
menghantar mesej kepadaku.
-Sudah
jumpa dengan Ketua Editor?-
-Sudah.
Sombonglah-
-Sombong?
Kenapa awak fikir begitu? Sebab dia tidak tanya tentang makanan
kegemaran awak?
:p-
-Bukanlah
sampai begitu.
Sudah.Tidak
perlu kita bercakap tentang Daniel. Kenapa awak tidak datang hari
ini? Bila awak akan kembali ke Hey?-
-Ada
urusan di UM. Saya perlu periksa kamera-kamera
di UM. Lusa nanti saya datang sebab Daniel akan adakan mesyuarat-
-Saya
tidak diberitahu pun tentang
mesyuarat itu-
Harry tidak memberi sebarang
respon mengenainya. Namun aku tidak tergerak untuk menghubunginya
terus melalui telefon. Aku mengalihkan perhatianku kepada
kerja-kerjaku. Pada malam itu, ketika Harry menghantar mesej
bertanyakan khabar, aku tidak langsung teringat untuk bertanya
tentang mesyuarat itu.
******
Tepat seperti mana yang
diberitahu oleh Harry, Daniel memanggil kami semua untuk satu sesi
mesyuarat. Aku bersama-sama dengan Miss B, Miss R dan Miss D bergerak
bersama-sama ke bilik mesyuarat. Chan, Daniel, Susan, Carmen, Dee,
Teresa, Rushdee dan beberapa yang lain awal-awal lagi sudah berada di
sana. Ketika semua orang sudah berada di dalam bilik mesyuarat
memerhatikan perbualan antara Daniel dan Chan, Harry masih tidak
kelihatan. Pantas, aku menghantar mesej kepada Harry untuk
bertanyakan tentang keberadaannya.
-Harry.
Di
mana awak? Tidak datang mesyuarat?-
Namun, lima minit berlalu tanpa
sebarang respon.
Selepas menyemak beberapa dokumen
yang diberikan oleh Chan, Daniel melihat jam di tangannya. Kemudian,
dia mengalihkan pandangannya kepada beberapa kerusi yang masih
kosong. Ketika itu, aku cukup yakin yang dia sedang menunggu Harry
walaupun dia tidak menyatakannya secara langsung. Namun, bayang Harry
masih tidak kelihatan. Yang lain pula ternanti-nanti apa agaknya yang
ingin dikatakan oleh Daniel.
"Ada baiknya jika kita
mulakan mesyuarat ini sekarang" kata Daniel. Dia membuka fail
yang berada di hadapannya dan memulakan mesyuarat. Fokus pada ketika
itu adalah mengenai edisi terbaru Hey yang akan dihantar untuk
pencetakan dalam masa tiga belas hari sahaja lagi.
'He has a way with words' kataku di dalam hati ketika melihat Daniel mengendalikan mesyuarat itu. Kata-katanya tersusun, mesejnya jelas dan dia nampak tenang sepanjang mesyuarat.
"Terima kasih semua. Boleh
bersurai sekarang" tepat dua puluh minit dari waktu mesyuarat
bermula, Daniel menamatkan mesyuarat itu.
Aku segera memeriksa telefon
bimbitku dengan harapan, ada mesej yang dibalas oleh Harry. Namun,
aku kecewa kerana tiada apa-apa maklum balas yang aku dapat darinya.
Hatiku mula resah. Fikiranku mula memikirkan kemungkinan yang tidak
baik. Aku takut kalau ada apa-apa yang terjadi kepada Harry. Aku
percaya, Harry bukanlah jenis yang sengaja tidak mahu menghadirkan
diri ke mesyuarat penting sebegitu. Aku hampir pasti, ada sesuatu
yang berlaku kepadanya.
Masing-masing mula meninggalkan
bilik mesyuarat melainkan Chan dan Daniel yang masih sibuk
berbincang. Aku pula diminta oleh Chan untuk menunggu di situ
sehingga dia habis berbincang dengan Daniel. Aku mendengar perbualan
mereka berdua. Ketika itu, ada sesuatu tentang Daniel yang membuatkan
aku terfikir tentang hubungannya dengan Harry. Aku terfikir bagaimana
agaknya Harry boleh tahu segalanya tentang Daniel dan apa yang
menyebabkan Harry yang sempoi itu boleh menjadi orang kepercayaan
Daniel yang begitu mementingkan kesempurnaan? Aku tidak mampu
memikirkan jawapan kepada persoalan yang aku ciptakan sendiri. Lalu,
aku membiarkan sahaja ia pergi seperti mimpi di petang hari.
"Marina! Mari!" Chan
mengajak aku beredar sebaik sahaja dia dan Daniel mencapai
persetujuan untuk menukar kaver edisi terbaru Hey. Aku menghentikan
segala persoalanku tentang Harry dan Daniel dan bersiap sedia untuk
mengikuti Chan keluar dari bilik mesyuarat. Serentak aku bangun dari
tempat duduk, Daniel perlahan-lahan membuka cermin matanya. Dia
memandang ke arahku dan mengukir sebuah senyuman.
"Oh!" aku berhenti
menarik nafas buat beberapa saat. Aku tidak percaya dengan apa yang
aku lihat. Hatiku menjerit-jerit apabila melihat Daniel tidak berkaca
mata buat kali pertama.
"Harry?" Kataku
perlahan. Aku berlagak tenang. Namun, hatiku menjerit-jerit
'Mustahil! Mustahil! Mustahil'
"Harry?" Chan
memandangku, kemudian dia memandang Daniel, "Siapa Harry?"
"Tiada sesiapa" aku
menggelengkan kepala. "Jom kita ke Editorial Chan!" aku
sekali lagi memandang ke arah Daniel yang sedang tersenyum penuh
makna. Aku berlalu meninggalkan bilik mesyuarat itu dengan segera.
Aku
kembali ke mejaku. 'Apa yang berlaku sebenarnya? Bagaimana aku boleh
tidak pernah sedar bahawa Daniel dan Harry adalah orang yang sama?'
Aku sudah jadi seperti belut kena ranjau. Monologku menjadi semakin
panjang. Setiap satu babak bersama 'Harry' yang berada di dalam
ingatanku berputar dan bermain berulangkali.
Bermula dari saat aku menyelamatkan sapu tangan Hermesnya ke saat dia
menjengukku pada hari pertama bekerja sehinggalah saat terakhir aku
menghantar mesej kepadanya.
"Patutlah...
Patutlah... Patutlah..." kataku sendirian. Beberapa kali aku
menepuk dahiku. Segala kemusykilan yang pernah aku rasakan sebelum
itu terjawab satu persatu.
"Marina. Daniel mahu
berjumpa" Chan mengejutkan aku dari lamunan tentang 'Harry'.
"Okay Chan!"
Aku menggerakkan kakiku menuju ke
pejabat ketua editor. Perlahan-lahan aku melangkah sambil menyusun
ayat dan respon yang ingin aku berikan kepada Daniel tentang seorang
lelaki bernama 'Harry'.
Perlahan-lahan,
aku membuka pintu pejabat ketua editor.
Aku cuba berlagak tenang. Cuba berlagak yang aku tidak terkesan
dengan semua itu.
"Ya. Encik Harry hendak
berjumpa dengan saya?" kataku sebaik sahaja aku masuk ke dalam
pejabatnya. Daniel tersenyum apabila mendengar aku memanggilnya
dengan nama rekaannya itu.
"Tiada siapa yang panggil
saya Harry di sini Marina" kata Daniel sambil menyandarkan
badannya pada kerusi. "Panggil sahaja Daniel" Senyuman yang
dilemparkannya berbaur nakal dan seolah-olah memberitahu hatinya
sedang menjerit-jerit meraikan helahnya yang telah berjaya
mengelirukan aku.
"Duduklah Marina..."
"Apa
yang ada di sebalik cermin mata Calvin Klien awak itu Harry? Maksud
saya... Daniel? Atau Harry?" sengaja aku melakonkan
kekeliruanku kepadanya.
"Daniel. Saya Daniel"
katanya sambil tertawa.
"Tertipu saya selama ini.
Harry dan Daniel adalah orang yang sama rupa-rupanya" kataku
sambil menggeleng-gelengkan kepalaku. Aku masih sukar untuk
mempercayai apa yang baru terbongkar "Sangat mengagumkan. Awak
mampu mengubah identiti awak dengan hanya menggunakan satu prop"
"Prop? Jadi awak samakan ini
dengan persembahan pentas?"
"Ada nama lain yang lebih
sesuai untuk drama yang awak cipta ini Daniel?"
"Awak marah dengan saya
Marina?"
"Tidaklah. Cuma... sedikit
terkejut. Saya rasa seperti diperangkap. Tetapi bila difikirkan, lucu
juga"
"Jangan salah sangka Marina.
Saya bukan mahu perangkap awak. Ia sebenarnya satu cara untuk saya
memperkenalkan diri kepada awak"
"Oh begitu. Jadi sudah
berapa lama lelaki bernama Harry ini wujud sebenarnya?"
"Sejak Jen..." Daniel
terhenti, dia seperti memikirkan sesuatu. Sekali lagi dia menyebut
nama Jen yang pernah aku dengar semasa pertama kali aku bertemu
dengan Harry di majlis perlancaran Spa Sari Ayu "sudah lama
sebenarnya" jawab Daniel.
"Hmmm. Pasti ada cerita
disebalik nama itu bukan?"
Daniel terdiam. Dia hanya
tersenyum.
"Bagaimana jika saya panggil
awak Encik Kent?"
"Kent?" berkerut dahi
Daniel mendengar cadanganku itu.
"Ya. Tidak pernah tonton
Superman?"
"Oh! Maksud awak Clark
Kent?"
Aku mengangguk.
"I
am no superhero"
Daniel menggelengkan kepalanya.
"I
have got a feeling that you are. Awak
ingat sebab apa awak ke hospital dahulu?"
kami sama-sama tertawa mengenang kembali apa yang telah berlaku di
antara kami sebelum itu. Terutama sekali saat 'Harry' menyelamatkan
beg tangan seorang wanita bernama Sheila tidak lama dahulu.
"Selamat datang ke Hey
Marina" ucap Daniel kepadaku.
"Terima kasih Daniel. Saya
harap ini akan jadi satu pengalaman yang bermakna buat saya"
"Sudah semestinya Marina.
Sudah semestinya"
Malam itu, aku ke Dr Love dan
menceritakan kepada Gina dan Ally tentang apa yang berlaku antara
aku, 'Harry' dan Daniel. Nyata, mereka terkejut sekali dengan apa
yang dilakukan oleh Daniel. Gina begitu teruja apabila mendengarnya.
Ally pula sedikit skeptikal, baginya itu adalah satu permulaan kepada
permainan yang selalu dimainkan oleh orang seperti Daniel. Dia
meminta aku untuk lebih berhati-hati.
Dari
respon-respon yang diberi oleh kedua-dua sahabat baikku itu, aku mula
mencari maklumat tentang Daniel. Tidak salah jika aku katakan yang
aku ketika itu seolah-olah 'menyiasat' dengan lebih lanjut lagi
mengenai latar belakang Daniel. Aku membaca dan meneliti semua
maklumat yang terdapat di internet satu persatu.
Aku
membaca segala-galanya mengenai karier, keluarga dan kisah peribadi
Daniel. Kadang-kala, bila ada masa yang sesuai, aku akan bertanya
serba sedikit mengenai Daniel kepada mereka yang berada di Editorial.
Segalanya tentang Daniel begitu menarik perhatianku, dia obsesiku
yang terbaru. Untuk beberapa minggu, aku pasti akan mencuri sedikit
masa
setiap
hari untuk membaca
tentang Daniel.
Daripada
apa yang telah aku baca dan dengar mengenai Daniel, aku dapati,
keluarganya memang banyak mempengaruhi Daniel. Pendedahan kepada
dunia media dan korporat sejak muda telah banyak membentuk
personalitinya.
Ayah
Daniel, Darius merupakan editor akhbar
tabloid Rainbow.
Sejak kecil lagi, ayahnya yang menyedari ketaksuban Daniel dengan MTV
dan VH1 seringkali meminta pendapat Daniel tentang cara untuk menarik
perhatian remaja kepada Rainbow. Ibunya Karina juga seorang yang
dikenali ramai.
Sebelum berkahwin dengan Darius, Karina telah mula mengusahakan
agensi pelancongan dan peragaan. Di sekolah, Daniel merupakan
seorang
pelajar yang sederhana. Walau pun begitu, dia sentiasa mendapat
keputusan yang cemerlang dalam subjek bahasa dan matematik.
Sebaik
sahaja tamat SPM, Daniel terus ke Singapura dan bekerja di ISETAN.
Dia menumpukan masa membina hubungan baik dengan orang-orang kuat di
dalam fesyen, muzik, filem dan juga politik.
Perkenalannya
dengan Ramzi yang
merupakan orang kuat
majalah 8 Days di
Singapura telah memberi
banyak pendedahan kepada Daniel mengenai dunia penerbitan majalah.
Daniel dan Ramzi begitu rapat sehingga ada khabar angin yang
mengatakan bahawa hubungan mereka berdua lebih dari sekadar
kawan.
Pada
tahun 2002,
dia diterima bekerja di Harper's Bazaar Singapura
sebagai
penulis riviu atas saranan dan sokongan kuat Ramzi. Selepas tiga
tahun, dia
kembali ke Malaysia dan
bekerja pula untuk beberapa majalah seperti Remaja,
Maskulin
dan In
Trend.
Dia ke Singapura pada tahun 2008
dan mengambil peranan besar sebagai penolong ketua editor di ELLE.
Pada pertengahan tahun 2009,
Daniel kembali semula ke Malaysia dan bekerja di Granite, salah
sebuah majalah sukan yang diterbitkan oleh Terry Lee Publication.
Walaupun kerjanya di Granite biasa-biasa sahaja, kerja-kerja yang
dihasilkannya ketika bersama dengan majalah-majalah yang terdahulu
dan ditambah pula dengan sokongan rakan-rakannya yang berpengaruh,
telah berjaya menarik perhatian pengurusan Terry Lee Publication.
Semua itu membuatkan mereka percaya dengan kredibilitinya sebagai
seorang editor. Pada tahun 2010,
Terry Lee Publication telah membuat keputusan untuk melantik Daniel
menjadi ketua editor majalah HEY. Ternyata, ianya satu keputusan yang
tepat. Pada ketika itu, HEY sedang bersaing dengan majalah seperti
Klue dan Junk di mana jumlah pembaca bagi kedua-dua majalah ini
dikatakan tidak menentu. Untuk menunjukkan visi dan kelainan yang
ingin dilakukan kepada majalah Hey, dia mengejutkan industri dengan
kulit muka depan yang agak sensual di mana
dia menampilkan dua lelaki berendam di dalam satu tub mandi sambil
berpelukan. Daniel mempertahankan tindakannya dengan mengatakan yang
ianya signifikan dengan topik 'brotherhood,
sensitivity and understanding' yang
ditampilkan Hey pada ketika itu.
Daniel
telah berjaya mengubah hala tuju Hey dan menjadikannya
satu fenomena.
Seiring dengan kejayaan yang dikecapinya, kisah peribadinya
juga sering kali diperkatakan di laman-laman blog. Perkara yang
selalu menjadi buah mulut mereka adalah khabar angin mengenai status
seksualitinya,
hubungannya dengan
beberapa wanita
ternama di dalam dunia politik dan media
dan hubungannya
dengan Ramzi dan beberapa lelaki lain.
Selain daripada itu, dia juga
dikenali dengan gayanya yang tersendiri dan unik
dan telah beberapa
kali disenaraikan
di dalam
Malaysia
Best Dressed Men.
"Jadi Marina. Bagaimana?
Dapat apa-apa yang menarik tentang Daniel?" tanya Gina.
"Menarik!
Sangat menarik" aku menjawab ringkas.
Diterbitkan
oleh : Harry Haider Enterprise, Blok 4-9-9, Vista Angkasa
59200, Kuala Lumpur.
©
Kid Haider, Mohamad Khidir Bin Mohamed Yazir, Khidir
M. Yazir
Terbitan Pertama 2015
Terbitan Pertama 2015
Hak
Cipta terpelihara











No comments:
Post a Comment